MULAI hari ini, waktu solat Subuh bagi seluruh kawasan di Selangor dianjak dengan tambahan lapan minit daripada waktu asal semasa.
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, perubahan waktu solat subuh itu dibuat hasil kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan penyelidik daripada Universiti Malaya (UM) berdasarkan kepada kecerahan langit pada tempoh masa berkenaan.
"Bermula 29 November 2019, bersamaam 2 Rabi'ul Akhir 1441 nilai kedudukan matahari dalam hitungan waktu Subuh daripada 20 darjah ke bawah ufuk telah ditukar kepada nilai 18 darjah dibawah ufuk bagi negeri Selangor," kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, perubahan waktu solat subuh itu telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MZI) kali ke-116.
“Perubahan waktu solat subuh itu telah diperkenankan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini untuk dikuatkuasakan di negeri ini,” kata kenyataan itu.
Semakan laman web JAIS, waktu solat subuh tertera bagi kawasan Gombak, Petaling, Sepang, Hulu Langat, Hulu Selangor, Rawang dan Shah Alam adalah pada 5.43 pagi; Kuala Selangor dan Sabak Bernam (5.46 pagi); manakala Klang dan Kuala Langat (5.43 pagi).
Difahamkan, waktu solat perlu dianjak lewat 8 minit dari asal seperti dipapar di laman e-solat
0 Comments