Tuduhan M'sia lindungi penjenayah karut - Mat Sabu


MENTERI Pertahanan, Mohamad Sabu menyelar tuduhan pihak tertentu yang mendakwa kononnya Malaysia memberi perlindungan kepada penjenayah dari wilayah selatan Thailand.

Dipetik laporan oleh Bernama, Mohammad berkata, tuduhan tersebut sangat tidak berasas, agensi keselamatan negara tegasnya sentiasa memantau kemasukan elemen asing ke Malaysia terutamanya melalui sempadan bersama kedua-dua negara.

“Agensi-agensi keselamatan kedua-dua negara terutamanya yang bertugas di sempadan darat sentiasa berhubung dan bertukar maklumat operasi dan perisikan secara berkala melalui platform Jawatankuasa Am Sempadan Malaysia-Thailand.

“Sehubungan itu, tuduhan bahawa Malaysia memberi perlindungan kepada penjenayah (Thailand) yang melarikan diri ke Malaysia adalah tidak berasas dan tidak tepat,” katanya dipetik.

Difahamkan tuduhan itu dibuat berikutan serangan sekumpulan individu bersenjata yang menyerang pos kawalan keselamatan di Yala, selatan Thailand dan membunuh 15 orang, termasuk sukarelawan pertahanan kampung, anggota polis serta mencederakan lima yang lain pada 5 November lepas.

Pihak tidak bertanggungjawab mendakwa penjenayah yang terlibat dalam serangan itu telah melarikan diri ke Malaysia. Dalam serangan itu.

Tambah Presiden parti Amanah Negara (AMANAH) itu lagi, Malaysia juga aktif dan sentiasa bekerjasama dengan Thailand untuk menjejaki penjenayah yang dikehendaki pihak berkuasa negara itu.

Sementara itu media melaporkan, dua individu yang dipercayai dalang dalam serangan di Yala sebelum ini maut ditembak.

Panglima Bahagian Tentera Darat Ke-4, Pornsak Poonsawat berkata kedua-dua lelaki iaitu Sobri Lamso, 28, dari Songkhla dan Mayako Lateh, 40, dari Pattani adalah individu yang memimpin dan merancang dalam serangan 5 November itu.
 

Post a Comment

0 Comments