SEORANG wanita ditemui mati di dalam keretanya di tempat letak kereta berhampiran Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini, malam kelmarin.
Difahamkan, mangsa dijumpai oleh suaminya yang berjaya menemui kereta mangsa di tempat letak kereta tersebut sekitar jam 9.15 malam.
Memetik laporan Utusan Borneo, wanita berusia 43 tahun itu sebelumnya dilapor tidak pulang ke rumah sejak Ahad lalu.
“Si suami melihat isterinya terbaring di dalam kereta tersebut yang dikunci dari dalam dan kemudian cuba memanggil isterinya tetapi tiada maklum balas menyebabkan dia bertindak memecahkan cermin kereta.
“Si suami kemudian menghubungi polis apabila terhidu bau busuk dan mengesyaki isterinya telah meninggal dunia,” kata laporan itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuching ACP Awang Din Awang Gani mengesahkan kejadian tersebut.
Jelasnya mangsa disahkan meninggal dunia selepas diperiksa pegawai perubatan dari Hospital Umum Sarawak (HUS).
“Hasil pemeriksaan mendapati tiada tanda-tanda yang mencurigakan terhadap mangsa dan pereputan awal telah berlaku di mana mangsa dipercayai telah meninggal dunia lebih 24 jam,” katanya.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik HUS untuk tindakan selanjutnya.
“Kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara siasatan lanjut dijalankan,” tambah Awang Din.
0 Comments