Pemecatan Pengerusi Tetap AMK dan timbalan tak jejas parti


KEPUTUSAN Angkatan Muda KEADILAN (AMK) memecat Pengerusi Tetap, Muhamad Mizan Adli Mohd Noor dan timbalannya, Mohd Ramly Ahmad tidak akan menjejaskan parti itu.

Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Fahmi Fadzil berkata demikian sebagai membidas amaran kedua-dua mereka yang dipecat itu bahawa ia akan membawa kepada pengharaman  parti berkenaan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Mengulas lanjut Fahmi berkata, isu pengerusi tetap dan timbalan pengerusi tetap adalah di bawah bidang kuasa peraturan bagi sayap AMK dan tidak melibatkan badan atau parti utama iaitu cabang-cabang dan KEADILAN itu sendiri.

"Jadi mengikut pandangan pimpinan pada waktu ini, ia tidak menjejaskan satu perkara pun dalam isu dibangkitkan.

"Malah, kalau kita lihat pendaftaran KEADILAN dan pendaftaran cabang itu yang ada pada RoS bukan sayap AMK atau Wanita," katanya pada sidang akhbar di Ibu Petaling Jaya semalam.

Sementara itu, ketika mengulas sama ada kerusi bagi dua jawatan tersebut akan dikosongkan sewaktu Kongres AMK di Melaka nanti, Fahmi berkata, mengikut prosedur jika perkara itu sudah dimaklumkan kepada setiausaha, maka perkara pertama yang perlu diselesaikan pada permulaan kongres itu adalah mengenai isu pengerusi tetap selain isu kehadiran/kuorum.

"Saya jangka itu jadi perkara pertama diselesaikan lagipun hal berkaitan perkara ini berlaku pada kongres tahun lalu dan dibangkitkan semula... Saya percaya ia akan dapat diselesaikan dengan baik," jelasnya.