LAPAN BELAS daripada 31 cabang parti KEADILAN di Sarawak didakwa telah menandatangani satu perakuan bersumpah yang mahu Pengerusi negeri itu digugurkan.
Memetik laporan Malaysiakini, seorang pemimpin peringkat negeri berkata, Baru Bian mempunyai terlalu banyak jawatan sehingga gagal menjalankan tanggungjawab sebagai pengerusi negeri dengan berkesan.
Sebagai rekod, selain menteri, Baru juga adalah Adun Ba'Kelalan, ahli parlimen Selangau dan pengerusi negeri.
"Baru patut digugurkan jawatannya sebagai pengerusi PKR negeri agar bebanannya dikurangkan dan beliau dapat memberi tumpuan kepada kementerianya.
"PKR Sarawak memerlukan seorang tokoh yang mampu memimpin dan meluangkan lebih masa terlibat dengan semua pemimpin cabang, terutama ketika pilihan raya negeri (PRN) akan berlangsung tidak lama lagi," katanya Ketua Cabang Selangau, Joshua Jabeng.
memetik laporan itu juga, Johshua mendakwa Baru gagal membuat persediaan menghadapi PRN walaupun arahan mengenainya sudah diberikan Anwar sejak April lalu.
"Kami mengangkat sumpah. Ini menunjukkan bahawa kami benar-benar serius dan jujur kerana tahu apa yang kami lakukan adalah betul," kata Joshua lagi dipetik laporan itu.
Mahu bersama Presiden, bukan Azmin
Terdahulu, Baru Bian membuat kenyataan berunsur ugutan terhadap parti itu apabila mahu membatalkan konvensyen parti itu yang sepatutnya diadakan di Miri pada 23 Nov ini.
Kenyataan itu susulan krisis dalaman dalam KEADILAN yang menyaksikan Timbalan Presidennya , Mohammed Azmin Ali tidak terpilih untuk merasmikan Kongres Angkatan Muda KEADILAN (KEADILAN) bulan depan.
Baru Bian merupakan seorang penyokong kuat kepada Azmin.
Joshua sementara itu juga mendakwa sebelum ini dia pernah menjadi penyokong Baru namun berubah pendirian selepas menteri terbabit memberi sokongan terbuka kepada Azmin.
Katanya, Azmin mencipta pelbagai halangan bagi menghalang Anwar menggantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri Malaysia.
"Kesungguhan Baru menyokong kumpulan pemberontak membuatkan saya sedar, jika saya mahu terus berada dalam KEADILAN, saya mahu bersama presiden, bukan dengan timbalan presiden," katanya.
Mengenai perakuan bersumpah itu, Joshua berkata, ia akan diserahkan kepada Anwar dan terserah kepada pemimpin terbabit untuk membuat keputusan mengenainya.
Difahamkan juga, kumpulan itu tidak memberi sebarang nama untuk dipertimbangkan untuk mengganti tempat Baru.