GARA-GARA tamak, seorang lelaki akhirnya terpaksa meringkuk selama 584 tahun dalam penjara dan dikenakan 146 sebatan.
Hakim Mahkamah Sesyen Melaka Datuk Mohd Nasir Nordin menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap Mohd Hanafi Ismail, 31, setelah bekas pembantu tadbir Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) mengaku bersalah terhadap 146 pertuduhan membabitkan kes pecah amanah dana biasiswa pelajar sekolah berjumlah lebih RM2.4 juta
Mengikut pertuduhan, Mohd Hanif yang ketika itu bertugas sebagai pembantu tadbir dan mempunyai penguasaan harta iaitu peruntukan biasiswa pelajar sekolah di negeri terbabit melakukan pecah amanah jenayah berkaitan harta berkenaan .
Tertuduh melakukan kesalahan tersebut secara berperingkat antara 23 Januari 2017 hingga 21 Disember tahun lalu di Unit Kewangan TAPEM di Bangunan Kota Cemerlang, Ayer Keroh.
Dia memasukkan wang itu ke pelbagai akaun bank miliknya, perniagaannya, rakan dan keluarga sepanjang tempoh berkenaan.
Dalam prosiding diadakan semalam, pihak pendakwaan turut memohon mahkamah mengenakan hukuman sewajarnya dengan mengambil kira kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius dan jumlah direkodkan tinggi, yang sepatutnya disalurkan kepada pelajar golongan asnaf lebih layak.
Irwan turut menyatakan bahawa tiada sebarang baki daripada akaun itu dapat dipulangkan atau berjaya dirampas oleh SPRM.
Tertuduh dijatuhkan hukuman penjara selama empat tahun dari tarikh jatuh hukum bagi setiap pertuduhan dan kesemua hukuman itu berjalan serentak dan satu sebatan bagi setiap 146 pertuduhan.
Sementara itu, Mohd Nasir dalam penghakimannya menegur tertuduh supaya bertaubat dengan berjanji untuk tidak mengulangi kesilapan dan memulangkan wang yang diseleweng itu kepada kerajaan Malaysia jika ada, kerana dalam al-Quran ada menyebut, mengambil harta anak yatim adalah haram dan berdosa besar.
0 Comments