Jenama vape tempatan, Ncig tutup operasi di Msia


PEMAIN industri tempatan,  Ncig Malaysia Sdn Bhd menumumkan bahawa mereka akan menutup operasi mereka di negara ini tidak lama lagi.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Shariffudin Bujang membuat kenyataan itu pada satu sidang media di sini pada Sabtu, selepas merasmikan Nsummit 2 di Seri Kembangan, semalam.

Menurut Sharuffudin, keputusan memindahkan operasi itu dibuat setelah kerajaan dilihat enggan meregulasi penggunaan rokok elektronik di negara ini selain mereka mahu menumpukan pasaran produk gantian rokok konvensional itu di Eropah dan United Kingdom.

"Desakan, ataupun banyak kekangan, untuk kami meneruskan operasi di Malaysia. Kalau kami meletakkan usaha yang sama di negara luar, kami rasa kami akan mampu membantu ramai orang.

"Di Malaysia, nikotin tidak ada regulasi dalam bentuk vape dan undang-undang itu masih lagi dibentuk dan akan dibincangkan di Parlimen bulan Mac tahun depan."

Tambahnya, walaupun keputusan itu sukar dan menyebabkan ramai pekerja bakal kehilangan pekerjaan, namun ia wajar dilakukan bagi memastikan jenama tempatan itu dapat terus bertahan dan dikembangluaskan kepenggunaannya.

Sebagai rekod, Ncig ditubuhkan dengan gagasan untuk menyediakan produk gantian nokotin kepada perokok bagi membantu mereka menghilangkan ketagihan rokok.

Pasaran Malaysia menyumbang 30 peratus kepada pasaran produk Ncig dan Nasty manakala 70 peratus pasaran utamanya ialah di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Eropah.

"Jika kerajaan sedia untuk regulasi produk bernikotin, kami rasa masuk akal untuk kami teruskan perjuangan kami di Malaysia.

"Kalau tidak, ia tidak akan membantu perokok Malaysia berhenti merokok, dan dikhuatiri akan jadi 'gateway' untuk orang lain mula menghisap e-rokok dan merokok," kata Shariffudin.

Malaysia ketika ini berada di tempat kedua pengeluar vape terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat, jenama Ncig sehingga kini menggunakan kira-kira 100,000 tan minyak sawit tempatan.

Dari segi penjanaan ekonomi, nilai pasaran vape di Malaysia bernilai RM4 bilion setahun manakala nilai pasaran di peringkat global ASD19.3 bilion setahun.

Sebanyak 30,000 peluang pekerjaan dilaporkan berjaya diwujudkan melalui industri itu di negara ini.

Post a Comment

0 Comments