SEBUAH Motosikal berkuasa tinggi hancur dan penunggangnya terkorban dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan.
Dalam kejadian 10.15 pagi tadi, Zarir OSman, 52, terbunuh selepas melanggar kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 4 Jalan Sungai Tua-Ulu Yam Bharu berhampiran Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor, di Kuala Kubu Bharu, hari ini.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Azman Ab Rahman berkata, kemalangan berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal Honda CBR sedang dalam perjalanan dari Selayang ke Genting Highlands.
“Sebaik tiba di hadapan Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor, mangsa tidak sempat mengelak MPV Proton Exora dipandu lelaki berusia 50 tahun yang masuk ke simpang sekolah itu untuk menghantar anaknya.
“Kejadian itu menyebabkan mangsa melanggar bahagian belakang sebelah kiri MPV berkenaan menyebabkan mangsa parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi,” katanya dalam kenyataan.
Azman berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.
“Pemandu kereta MPV terbabit dilaporkan cedera di bahagian pinggang dan dibawa ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut.
“Kejadian itu menyebabkan motosikal milik mangsa rosak di seluruh bahagian, manakala MPV berkenaan rosak di sebelah kiri bahagian penumpang belakang,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
0 Comments