Food Panda dapat notis amaran


SYARIKAT penghantar makanan Foodpanda sekali lagi dihimpit kontrovesi apabila diberi notis amaran daripada Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Ia susulan penularan laporan kotak makanan milik syarikat itu dibuang di kawasan longgokan sampah haram di Jalan Gombak Lama menghala ke Bentong.

Pengarah Jabatan Korporat Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Mohamad Zin Masoad berkata, pihak MPS serius terhadap isu yang melibatkan aspek kebersihan dan alam sekitar.

"Tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang didapati tidak bertanggungjawab membuang sampah haram di kawasan pentadbiran MPS," katanya.

Semalam sebuah portal berita melaporkan ketidakselesaan penduduk berhampiran Hospital Orang Asli Gombak selepas hutan mereka dijadikan tapak pembuangan sampah haram oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Aktiviti itu semakin parah selepas barang penghantaran makanan dibuang ke kawasan tersebut dalam kuantiti yang banyak sehingga menimbulkan kebimbangan bakal memudaratkan alam dan kesihatan penduduk setempat.

Sementara itu tambah Mohamad Zin, pihaknya telah meninjau lokasi dimana kotak tersebut telah dibuang.

"JKR turut maklumkan akan melakukan kerja pembersihan dengan mengorek keluar sampah dari lereng bukit tanah rizab sungai dan jalan.

"Ia disusuli meletakkan batu blok konkrit sebagai penghadang di tebing sungai tersebut yang dipenuhi sampah pukal dan domestik serta kotak penghantaran makanan Foodpanda," katanya.

Kawasan tersebut juga telah disita melalui pemasangan pita kuning bagi menghalang aktiviti pembuangan sampah haram itu berterusan.