ANGKATAN Muda Keadilan (AMK) Selangor menegaskan pihaknya tidak pernah bersetuju atau menyokong mesyuarat yang dilakukan sekumpulan anggota sayap parti itu yang dipercayai dari kem Azmin di Shah Alam pada Rabu lalu.
Pengarah Komunikasinya, Mohd Khairool Ngadon berkata, mesyuarat yang menggunakan nama AMK itu juga tidak mendapat persetujuan keseluruhan pimpinan, malah Timbalan Ketua AMK Selangor, Mohd Shah Rezza juga tidak pernah membuat kenyataan menyokong mesyuarat berkenaan selain tidak hadir ke lokas mesyuarat itu diadakan.
Tambah Khairool, tindakan pihak itu mengadakan mesyuarat tersebut juga dilihat sebagai usaha melunaskan niat individu tertentu semata-mata.
"Tindakan mereka ini jelas sekali tidak beretika dan menampakkan betapa terdesaknya usaha untuk menunaikan keinginan individu tertentu supaya dapat merasmikan Kongres Nasional AMK.
"Kami ingin menegaskan pendirian 16 Ketua AMK cabang di Selangor tidak menggambarkan pendirian keseluruhan," katanya menerusi satu kenyataan.
Melalui kenyataan itu juga, Khairool sekali lagi menegaskan bahawa keputusan untuk memilih perasmi kongres telah sebulat suara dicapai melalui muzakarah Majlis Pimpinan Pusat AMK.
"Maka keputusan ini mestilah dipertahankan dan bukan dipertikai dengan cara yang tidak beretika.
"AMK Selangor menyokong sepenuhnya perasmian Kongres Nasional AMK oleh mantan Presiden KEADILAN sebagai tanda penghargaan kepada beliau yang pernah memacu parti sehingga mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke- 14 (PRU14) lalu," tegasnya.
Kenyataan oleh AMK Selangor itu dibuat susulan tindakan Timbalan Ketua AMK, Hilman Idham yang memanggil mesyuarat tanpa persetujuan sah daripada Majlis Pimpinan Pusat AMK di Shah Alam pada 20 November lalu.
Menerusi mesyuarat itu, Hilman yang juga Setiausaha politik kepada Mohammed Azmin Ali menyatakan pendirian meneruskan perasmian Kongres Nasional AMK yang akan berlangsung pada 5 Disember ini dengan dengan perasmian oleh 'bos'nya.
Isu perasmi kongres terbabit menjadi kontroversi selepas Azmin yang dikritik kerana tidak menghadiri mesyuarat majlis tertinggi parti itu tidak terpilih merasmikannya seperti apa yang didakwa penyokongnya sebagai 'tradisi'
0 Comments