Timbalan Speaker Dewan dakwa Najib cuba fitnah


TIMBALAN
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming telah mengarahkan setiausaha sulit kanannya membuat laporan polis terhadap bekas Presiden Umno Najib Razak.

Difahamkan, ia berhubung catatan Facebook Najib yang memaparkan tangkap layar yang dikatakan catatan FB “Nga Kor Ming Super Fans Page” mengenai tanda jalan dwibahasa yang mana bekas perdana menteri itu dakwa “menghasut” terhadap sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Saya nasihatkan pihak yang tidak bertanggungjawab berhenti segera dengan kempen fitnah yang berdusta besar.

“Saya juga menyeru rakyat menolak perbuatan fitnah dan berita palsu yang sedang cuba merosakkan hubungan kaum dan ketenteraman negara ini,” kata Ahli Parlimen Teluk Intan itu dalam kenyataan.

Hantaran FB didakwa guna nama Kor Ming
Terdahulu, Kor Ming mendakwa Najib menggunakan hantaran akaun palsu untuk merosakkan namanya serta menghasut rakyat membencinya dan parti.

Beliau menafikan dirinya dan DAP terlibat dalam membuat hantaran menghasut masyarakat Cina untuk membenci Sultan Selangor seperti dibuat akaun menggunakan nama ‘Nga Kor Ming Super Fans Page’ yang menyamar mewakili dirinya itu.

Kor Ming turut mendedahkan pemeriksaan mendapati hantaran dikonsikan Najib itu sebenarnya daripada laman FB “Ju Xi Wan Yak”, dan tiada kaitan dengannya atau DAP. Carian di internet juga mendapati terdapat sekurang-kurangnya dua “mirror page” yang sama bernama “Nga Kor Ming Super Fans Page”, dan laman-laman itu wujud sejak Nov 2018 dan Ogos 2019.

“Terdapat konspirasi politik jahat yang cuba mencemar nama baik saya mahupun parti DAP sehingga sanggup membuat fitnah kononnya saya cuba bangkit perasaan tidak puas hati terhadap sultan Selangor,” tambahnya.

Terdahulu, satu laporan dibuat seorang pengiring Sultan terhadap akaun Facebook menggunakan nama Pengerusi DAP Perak itu.

Laporan polis itu dibuat di balai polis Seksyen 6 Shah Alam dan disiasat bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan.

"Ada siasatan kalau tak silap saya. Ada laporan dibuat... Kita siasatlah dulu. Tengok macam mana.
Iklan

"Apapun, biar kita lihat daripada semua angle (sudut) dulu. Saya tak mahu komen di peringkat ini," kata Timbalan Ketua Polis Negara Mazlan Mansor ketika mengesahkan laporan itu.

Post a Comment

0 Comments