Tanjung Piai: Parti politik mula beli borang pencalonan


ENAM borang pencalonan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai telah dijual setakat ini.

Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)  negeri, Mohammad Zaidad Abdul Samat berkata enam borang itu dijual bagi tempoh dari 8 hingga 22 Oktober lalu.

Tambahnya, borang-borang itu dibeli wakil dari parti-parti politik utama. Namun belum ada yang membayar deposit untuk pilihan raya atau pun bahan kempen.

“Pembelian borang pencalonan ini masih boleh dibuat sehinggalah pada hari pencalonan pada 2 November pukul 10 pagi,” kata beliau selepas meninjau sesi taklimat petugas PRK di Dewan Jubli Intan di Pontioan semalam.

Sementara itu jelasnya,  mana-mana pihak yang ingin bertanding juga diberi ruang untuk membuat semakan mengenai kelayakan mereka bermula 28 hingga 30 Oktober ini bagi memastikan mereka menepati syarat menjadi seorang calon.

PRK Tanjung Piai akan diadakan pada 16 Nov ini berikutan kematian penyandang kerusi itu, Dr Md Farid Md Rafik, 42 pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.

SPR menetapkan tarikh mengundi awal ialah pada 12 November (Selasa) dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

Sementara itu, beliau menasihatkan orang ramai agar menyemak maklumat lokaliti, tempat daerah mengundi, lokasi Dewan Undangan Negeri dan pusat mengundi/saluran secara dalam talian menerusi aplikasi MySPR Daftar.

Post a Comment

0 Comments