AHLI Dewan Undangan Perai, P Ramasamy hadir ke Bukit Aman untuk memberi keterangan berhubung satu laporan polis yang dibuat terhadapnya.
Difahamkan, kehadiran Ramasamy susulan penyiaran satu artikel bertajuk ‘Kerajaan Baharu Tapi Polis Pada Takuk Lama - Ramasamy’ oleh sebuah portal berita, bulan lepas.
Ramasamy tiba di Bukit Aman pada kira-kira 9.50 pagi ini.
“Saya ke Bukit Aman untuk memberi keterangan berhubung artikel yang dikeluarkan dalam satu portal berita sebelum ini.
“Oleh itu, saya akan memberi kerjasama yang baik kepada polis berhubung perkara ini dan berharap selesai pada hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Bukit Aman.
Pada 17 September lalu, Ramasamy dilaporkan berkata, beliau melahirkan rasa terkilan dan terkejut dengan insiden berbalas tembakan antara polis dan tiga perompak lelaki berbangsa India dari Batu Caves hingga ke Batu Arang yang berlaku 14 September lalu.
Ramasamy dalam tulisnya tertanya-tanya dengan insiden itu sehingga menimbulkan pelbagai persoalan.
Kenyataan Ramasamy di Facebooknya disiarkan portal berita Malaysia Gazette.
Terdahulu, dalam kejadian jam 5 pagi, polis menembak mati tiga penjenayah dipercayai aktif melakukan samun pecah rumah, di Kilometer 22, Jalan Batu Arang, Rawang, Selangor.
0 Comments