Tiga kampung di Kedah dilanggar Puting Beliung


LEBIH
20 buah premis termasuk rumah di tiga kampung dekat di Jitra, Kedah rosak teruk setelah dilanda angin kuat dan puting beliung.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang tadi puting beliung itu memusnahkan premis kediaman di Kampung PIDA 3, dan Kampung PIDA 4 serta Kampung Gurundang dalam Mukim Jeram.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kubang Pasu, Kamalruzamal Kasa, berkata, pihaknya menerima maklumat 10 rumah dikampung PIDA 4 rosak akibat kejadian itu.

Jelasnya, anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) kemudiannya dikejarkan ke lokasi untuk membantu kerja pembersihan di kawasan dilandabencana alam itu.

Selain 10 buah rumah di kampung berkenaan, turut dilaporkan 10 premis lain di Kampung PIDA 3 dan 3 di Kampung Gurindam turut terjejas.

Keadaan sebuah rumah yang musnah  | Sumber -Google
Fatimah Salam, 58, yang memetik laporan Berita Harian berkata dia sedang mandi sebelum terdengar bunyi seperti enjin jentera pembajak di luar rumah.

Katanya, dia kemudian ternampak pusaran angin yang menerbangkan sebahagian atap zink rumah sebelum berlari keluar menyelamatkan diri kerana bimbang kediamannya roboh.

“Saya terus merangkak di belakang rumah, anak lelaki pula memeluk pokok sebaik melihat pusaran angin menghala ke rumah kami dan menerbangkan sebahagian bumbung rumah,” katanya menurut laporan itu.

Bertempiaran lari

Sementara, Nurul Fahana Shahidan, 30 pula berkata,  ketika kejadian dia sedang menonton televisyen di ruang tamu selepas menidurkan anaknya, Muhammad Ainol Farhan Mohd Azmi, setahun 11 bulan dalam buaian.

“Ketika itu saya dengar bunyi bising dan ketika hendak menutup tingkap, tiba-tiba saya nampak daun berterbangan.

“Saya cuba pusing ke belakang dan nampak sebahagian rumah sudah cerah apabila bumbung dan alang kayu diterbangkan angin,” katanya dipetik sumber sama.

Susulan itu tambah Nurul Farhana, beliau terus mengambil anaknya dalam buaian untuk menyelamatkan diri lari keluar.

Terdahulu, warganet berkongsikan rakaman kejadian petang tadi di laman sosial, Puting Beliau dilihat melewati sawah dan menerbangkan bumbung rumah penduduk.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir turut melawat dan menyampaikan sumbangan awal kepada mangsa bencana terbabit bagi meringankan beban mereka.

“Kita sedang tunggu bancian pelbagai agensi berkaitan mengenai penduduk yang terbabit dalam kejadian ini dan akan menyalurkan sumbangan susulan untuk kos baik pulih rumah yang rosak,” katanya.

Kerajaan Negeri Kedah jelasnya kini bersedia untuk menghadapi sebarang bentuk bencana berikutan peralihan Monsun Timur Laut.

Post a Comment

0 Comments