Pangsapuri Azalea diisytiharkan tak selamat


PANGSAPURI
Azalea di Jalan Sri Penchala 1, Kampung Sri Penchala, diisytiharkan tidak selamat diduduki.

Pengisytiharan itu dibuat selepas apartment itu terjejas susulan tanah runtuh yang berlaku malam tadi.

Sehubungan itu, seramai 65 orang penghuni daripada 24 buah rumah di apartmen itu diarah keluar dan mereka terpaksa dipindahkan ke Pusat Komuniti Taman Tun Dr Ismail sebagai langkah keselamatan.

Anggota bomba mengarahkan penduduk berpindah
Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur dalam satu kenyataan awal hari ini, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.08 malam.

"Seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taman Tun Ismail serta 13 anggota Pasukan Khas Taktikal Operasi dan Penyelamat (STORM) digerakkan ke lokasi.

"Setibanya di lokasi, bomba mendapati kejadian tanah runtuh berlaku di belakang kawasan flat tersebut berkeluasan 1,500 kaki persegi dan sedalam 19 kaki," kata kenyataan itu dipetik laporan Awani.

Difahamkan susulan kejadian itu, anggota bomba telah diarahkan menjalankan pemeriksaan lanjut dan mendapati bangunan tersebut tidak selamat untuk diduduki.

Operasi pemimdahan penduduk turut dibantu anggota BBP Cheras, BBP Keramat dan dibantu pihak polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Pihak polis juga  difahamkan membuat kawalan keselamatan di lokasi kejadian.