KEADILAN Sabah letak syarat terima Salleh Keruak



KEADILAN Sabah sanggup menerima bekas penyokong setia Umno, Salleh Said Keruak menyertai parti itu.

Namun Pengerusi KEADILAN negeri, Christina Liew Chin Jin meletakkan syarat kepada individu yang pernah dikenali sebagai 'last samurai Najib’ tersebut.

Pada sidang media di Penampang hari ini, Christina berkata, Salleh dialu-alukan menyertai parti itu jika beliau sanggup mengetepikan prinsip Umno yang dipegangnya sebelum ini.

“Kami mengalu-alukan sesiapa sahaja yang mahu menyertai parti selagi mereka ikhlas dan tulen dalam berjuang untuk keadilan, kesaksamaan dan pembaharuan, yang membentuk prinsip ‘reformasi’.

“Ini bukan isu sama ada kami (KEADILAN Sabah) sanggup menerima atau menolak. Ia bergantung kepada sama ada dia ikhlas dalam meneruskan perjuangan yang telah kami bawa selama 21 tahun yang lalu,” kata Ahli Parlimen Tawau itu.

Sebelum ini, permohonan Salleh bagi menyertai parti secara dalam talian mendapat perhatian ramai, ia susulan peranan dimainkannya ketika era pentadbiran bekas perdana menteri, Najib Razak.

Bagaimanapun, sesetengah pihak melihat penyertaan Salleh ke dalam parti itu mampu menarik lebih banyak sokongan kepada KEADILAN dan membawa nilai tambah kepada parti tersebut.

Sebagai rekod, Salleh merupakan Ketua Menteri Sabah mulai tahun 1994 hingga 1996.

Beliau kemudian dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Sabah (2010-2015) serta Menteri Komunikasi dan Multimedia (2015 hingga Mei 2018).

Salleh sebelum ini mengemparkan Malaysia Timur apabila membuat pengumuman meninggalkan Umno bersama pemimpin dan jentera pada 12 Disember 2018 yang sekaligus menyebabkan Umno Sabah lumpuh serta merta.

Post a Comment

0 Comments