PELAKON Sofi Jikan hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam bagi memfailkan rayuan berhubung sebutan dan sabitan menggunakan ganja tahun lalu.
Pelakon terkenal dengan tagline 'Kasi Sengat Sama Lu' itu dilihat hadir berseorangan dengan mengenakan kot biru dan berseluar jeans.
Peguamnya, M Shah Rizal Manan berkata, Sodi Jikan atau nama sebenarnya Mohammad Shofi Jikkan, 49, memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 31 Julai lalu.
"Bagi sebutan rayuan permohonan di mahkamah hari ini, ia dilakukan di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Shah Alam.
"Sofi Jikan memfailkan sebutan rayuan bagi keputusan mahkamah yang menjatuhkan hukuman 12 bulan penjara pada 31 Julai lalu," kata Shah Rizal ketika ditemui di luar mahkamah.
Mahkamah menetapkan 26 November ini sebagai tarikh perayu dan responden mengemukakan hujahan masing-masing.
Pelakon filem KL Gangster itu dijatuhkan hukuman penjara selama 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Rabu atas pertuduhan menggunakan ganja.
Ia selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Sofi sebelumnya menggunakan dadah jenis 11-nor-delta-9-tetrahydro cannabinol-9-carboxylic acid atau THC di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, jam 11.15 malam, 6 Februari tahun lalu.
Bagi kesalahan itu, pelakon itu didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.