SEORANG kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun ditemukan lemas selepas terjatuh dalam lubang kumbahan.
Memetik laporan Sinar, dalam kejadian itu Anas Hadif Ahmad Hafiz ditemukan anggota penyelamat pada kedalaman dua meter dalam lubang di Kuarters Polis Jalan Pasir Puteh dekat Ipoh.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Mohd Fadzeli Che Hussin berkata, seramai 11 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 8.16 pagi.
“Anggota bertindak menggunakan pam untuk mengeluarkan sebahagian air kumbahan untuk memudahkan operasi mencari dan menyelamat mangsa.
“Seorang anggota dipakaikan abah-abah dan tali untuk mencari mangsa di dalam lubang terbabit pada kedalaman dua meter dan menemui mangsa pada jam 9 pagi,” katanya seperti laporan tersebut.
Menurutnya, anggota memberi bantuan Pernafasan Resutasi Kardiopulmonari (CPR) setelah mangsa berjaya dikeluarkan.
“Bagaimanapun pegawai perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” jelasnya lagi.
0 Comments