Jepun diserang taufan dan gempa serentak



DUA terkorban manakala tiga yang lain dilaporkan hilang dalam kejadian Taufan Hagibis yang membadai Jepun pada Sabtu.

Memetik laporan media antarabangsa, seorang mangsa yang maut ditemui orang awam dalam kenderaan yang diipercayai terbalik akibat angin kuat, sementara seorang lagi terlibat dalam kemalangan jalan raya apabila tanah runtuh di bandar Tomioka.

Setakat ini, 70 orang dilaporkan cedera dan kini menerima rawatan di hospital.

Agensi Kaji Cuaca Jepun (JMA) sebelum ini memberi amaran bahawa taufan itu membawa hujan lebat yang memecah rekod 60 tahun. Ia turut membawa angin dengan kelajuan maksimum sehingga 219 kilometer sejam ke kawasan Tokyo, Shizuoka dan bahagian utara Jepun, Chiba.

Disenaraikan sebagai ‘besar dan amat kuat’, ribut itu sudah pun memaksa pembatalan dua pertandingan Piala Dunia Ragbi, mengganggu Grand Prix Suzuka dan menyebabkan lebih 1,600 penerbangan dibatalkan.

BACA:
Taufan Hagibis: F1 mungkin dibatalkan

Taufan itu menyebabkan gangguan kepada sistem pengangkutan dan gangguan bekalan elektrik walaupun belum tiba.

Ia turut mengemparkan penduduk negara itu apabila menyebabkan awan bertukar warna kepada unggu.

Dalam perkembangan berkaitan, bahagian timur Tokyo digegarkan dengan satu kejadian gempa bumi berukuran 5.7 magnitud pada jam 6.22 petang Sabtu.

Agensi meteorologi negara itu mengesahkan, gempa bumi yang melanda Chiba hampir serentak dengan kehadiran Taufan Hagibis yang mendekati perairan Jepun.

Bagaimanapun, setakat ini tiada amaran tsunami dikeluarkan.