CALIFORNIA diisytihar darurat susulan bencana kebakaran yang semakin marak akibat angin kencang.
Pengumuman itu dibuat Gabenor negeri itu, Gavin Newsom apabila penduduk terpaksa berpindah dan berlaku gangguan bekalan elektrik ke kawasan itu.
"Kami mengerah segala sumber yang ada dan bekerjasama dengan pelbagai agensi bagi menangani kebakaran tersebut.
"Adalah penting bagi penduduk dalam zon pemindahan mematuhi amaran pihak berkuasa dan mempunyai bantuan yang mereka perlukan," kata Newsom dalam satu kenyataan yang disiar portal berita antarabangsa AFP.
Sementara itu, pasukan bomba dalam kenyataan mereka berkata, kebakaran dikenali dengan nama Kincade Fire itu merebak sehingga 12,000 hektar.
Difahamkan, cuma 10 peratus kebakaran berjaya dikawal menjelang tengah hari semalam.
Setakat ini, lebih 3,000 anggota bomba dibantu helikopter bertungkus-lumus memadamkan kebakaran.
Kebakaran itu juga menyebabkan sekurang-kurangnya dua buah hospital di Santa Rosa terpaksa memindahkan pesakit mereka ke hospital lain.
Kebakaran ini yang dianggap terburuk di California bermula pada Rabu lalu.
Ia semakin cepat merebak susulan angin kencang yang bergerak selaju 145 kilometer sejam.
0 Comments