KEMENTERIAN Pertahanan memperuntukkan RM150 juta bagi tahun hadapan untuk memperbaiki 6,000 unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT).
Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata kementeriannya akan memastikan RKAT sedia ada dipulihkan dan dapat didiami dengan selesa.
Langkah awal yang dilaksana Kementerian Pertahanan katanya adalah untuk kerja-kerja penyelenggaraan menerusi budaya memperbaiki, mengganti dan memulihkan (repair, replace and restore - 3R).
“Penyelenggaraan serta pemulihan RKAT jelas diperlukan berdasarkan penemuan Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1.
"Hampir semua projek pembaikan ini dijangka siap sebelum hujung tahun ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
![]() |
Kerajaan sedia sediakan RKA terbaik |
“Daripada 54,497 unit RKAT dalam pegangan, didapati 12,261 unit (22.5 peratus) tidak selamat untuk diduduki kerana terlalu uzur.
“Dari 2016 hingga 2018, hanya 2,447 unit tersebut diluluskan untuk kerja-kerja pembaikan, jauh lebih rendah berbanding 8,724 unit yang dirancang pada asalnya,” kata Mohamad.
Mohamad berkata keadaan unit RKAT merupakan satu daripada elemen yang sangat penting untuk menjamin kesejahteraan anggota ATM dan keluarga mereka.
Katanya, unit RKAT yang selesa secara langsung akan meningkatkan semangat anggota ATM yang banyak berkorban ketika menjalankan operasi sepanjang tahun.
“Dengan adanya RKAT yang dijaga dengan baik, maka anggota ATM tidak perlu bimbangkan keadaan keluarga mereka ketika bertugas.
"Keselesaan dan keamanan yang dinikmati oleh rakyat hanya tercapai melalui titik peluh dan darah anggota ATM,” katanya lagi.
0 Comments