Amanah beri tumpuan khas kepada 5 PDM



PARTI Amanah Negara (Amanah) negeri Johor bakal memberi tumpuan khusus kepada lima pusat daerah mengundi (PDM) Parlimen Tanjung Piai pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan diadakan tidak lama lagi.

Pengerusinya, Aminolhuda Hassan berkata, ia sebagai sebahagian strategi bagi  memastikan kemenangan Pakatan Harapan (HARAPAN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu dapat dipertahankan.

“Amanah Johor sudah mengadakan mesyuarat khas berkenaan PRK. Satu jawatankuasa dipengerusikan oleh saya juga sudah ditubuhkan selain beberapa gerak kerja antaranya pertemuan dengan Ketua Kampung sudah dijalankan,” katanya.

Difahamkan, kesemua PDM tersebut terletak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukup.

Tambah Aminolhuda, gerak kerja itu diadakan supaya semua maklumat berkaitan boleh diteliti dan diambil tindakan segera.

Kerusi Parlimen Tanjung Piai kini kosong berikutan kematian Ahli Parlimennya, Datuk Dr. Md Farid Md Rafik, 42, pada 21 September lalu yang sebelum ini memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 dengan majoriti 524 undi.

Post a Comment

0 Comments