SEORANG bekas Pengarah Kastam Diraja Malaysia negeri dan dua pengarah sebuah syarikat sendirian berhad ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Mereka disyaki terlibat dengan rasuah membabitkan aktiviti pembalakan, perlombongan haram dan penyeludupan.
Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, bekas pengarah kastam negeri itu ditahan di pejabat SPRM Kelantan semalam, manakala dua lagi suspek ditangkap di sebuah hotel di Genting Highlands.
"Sejumlah besar wang tunai juga dirampas semasa tangkapan dibuat.
"SPRM juga membekukan akaun suspek, individu lain dan entiti berkaitan melibatkan 20 akaun individu dan empat entiti," kata Ketua Pesuruhjaya SPRM itu dalam satu kenyataan.
Penangkapan itu dilihat selari dengan usaha kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) yang sebelum ini berjanji tidak akan membiarkan 'jerung' yang terbabit amalan rasuah terlepas.
Sementara itu, SPRM kini sedang menumpukan usaha bagi membanteras aktiviti pembalakan dan perlombongan haram di seluruh negara.
Ia sebagai usaha memerangi aktiviti haram yang menyebabkan isu alam sekitar dan juga melibatkan kepentingan awam.
Difahamkan, Mahkamah Majistret Kota Bharu telah memerintahkan tahanan reman selama lima hari terhadap suspek.
0 Comments