KETUA Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Engku Hamzah Tuan Mat, 59, meninggal dunia.
Perkara berkenaan diumumkan menerusi satu kenyataan media oleh Pegawai Khas Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara malam tadi.
“Dukacita dan berat hati dimaklumkan, YM Datuk Engku Hamzah bin Tuan Mat, Ketua Pengarah MKN, JPM telah kembali ke rahmatullah petang tadi,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ismail Bakar, menerusi satu ciapan di laman Twitternya turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.
“Sama-sama kita sedekahkan al-Fatihah kepada arwah dan moga ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman,” katanya.
Difahamkan, Allahyarham meninggal dunia di Hospital Serdang (HS) kira-kira jam 7.30 malam tadi dipercayai akibat serangan jantung.
Difahamkan, jenazah akan dibawa pulang ke kediamannya di Sungai Ramal, Kajang dekat sini sebaik proses dokumentasi selesai.
Jenazah dijangka akan dibawa ke Surau Al-Falah, Sungai Ramal Dalam untuk solat jenazah pada jam 10 pagi esok sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Ramal, Kajang.
Al-Fatihah.
0 Comments