PENGAJIAN media di institusi pengajian tinggi masih relevan, kata Tokoh Wartawan 2018, Tan Sri Johan Jaafar.
Walaupun begitu, Johan berkata pengajian media itu memerlukan penstrukturan semula termasuk membabitkan silibus pengajian yang dapat disesuaikan dengan penyebaran informasi atau maklumat yang dapat disampaikan menerusi media sosial.
Jelasnya, pengembangan silibus itu penting kerana konteks industri media masa kini sangat berbeza dengan 10 atau 20 tahun sebelum ini.
"Tidak ada pengajian yang tidak relevan. Tetapi kita perlu melihat keseluruhan dengan sejujurnya, kurikulum atau sukatan pelajaran yang sedia ada.
"Pengajian media di universiti perlu dilihat semula, dari aspek kurikulum dan keperluannya dalam industri media," kata bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu itu lagi seperti dilapor Awani.
Johan berkata demikian ada Forum Media Kebangsaan di Taylor's University, pada Rabu.
Forum berkenaan membincangkan tema 'Industri 4.0 - Kewartawanan Merentasi Pelbagai Platform' yang antara lain berhubung kesan media digital kepada industri secara keseluruhannya.
Sementara itu tambah Johan, perkembangan teknologi menuju ke era Revolusi Perindustrian 4.0 memerlukan penggiat media lebih terbuka, kreatif dan dinamik dalam menangani cabaran persaingan bukan sahaja sesama agensi media, tetapi juga untuk mendepani dominasi media sosial.
"Organisasi media tidak lagi mempunyai hak eksklusif terhadap berita. Sesiapa sahaja boleh menjadi pemberita atau wartawan.
"Dapat sahaja maklumat, ia boleh dimuatnaik ke platform media sosial dan sekelip mata, ia menjadi tular. Kalau kita ikut cara lama, kita tidak boleh bertahan," tambah beliau dipetik.