SEORANG Ahli Dewan Rakyat dari KEADILAN mengesa kerajaan memberi masa mencukupi kepada Ketua Pembangkang di Parlimen ketika sesi perbahasan bajet akan datang.
Hassan Abdul Karim berkata, ia bagi
membolehkan pihak pembangkang diketuai Ismail Sabri Yaakob memberi hujah
yang baik dan tidak sekadar mengheret perbahasan dengan isu-isu retorik
yang tidak menguntungkan rakyat.
Jelasnya, ruang yang ada juga
merupakan peluang yang baik buat pembangkang membuktikan kepada rakyat
bahawa mereka dapat menjalankan tugas semak dan imbang kepada Kerajaan
Pakatan Harapan dengan sebaik mungkin.
"Ini supaya parlimen bagi masa yang cukup untuk ketua pembangkang membahaskan belanjawaan negara.
"Sekurang-kurangnya
seminggu untuk persiapan bagi ketua pembangkang boleh bahas dengan
kualiti perbahasan yang tinggi berdasarkan fakta dan angka, bukannya
retorik semata-mata," kata Ahli Parlimen Pasir Gudang itu dalam satu
kenyataan.
Menurutnya lagi, rakyat wajar menilai keupayaan Ismail
Sabri pada sesi itu kerana Ketua Pembangkang merupakan institusi
penting dalam sistem demokrasi seperti di negara-negara demokrasi maju
yang lain.
Secara tradisi, belanjawan negara dibentangkan pada Jumaat minggu pertama sesi terakhir sidang Dewan Rakyat.
Bajet bagi tahun 2020 dijangka akan dibentangkan pada 11 Oktober depan.