MALAYSIA mengutuk keras rancangan biadap Israel untuk memperluas pendudukan negara itu di Wilayah Palestin di Tebing Barat.
Kerajaan
melalui Kementerian Luar berkata, cadangan yang dibuat Benjamin
Netanyahu melalui kenyataannya baru-baru ini adalah tidak
bertanggungjawab dan akan menjejaskan usaha mencari penyelesaian jangka
panjang dan keamanan di Timur Tengah.
“Langkah Israel jelas
melanggar undang-undang antarabangsa, Konvensyen Geneva dan resolusi
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), termasuk Majlis Keselamatan PBB.
“Ini
pastinya perkembangan yang berbahaya yang menuntut perhatian penuh
komuniti antarabangsa,” menurut kenyataan Kementerian Luar.
Kementerian
itu turut menegaskan, kawasan Tebing Barat, termasuk Baitulmuqaddis
Timur, adalah wilayah milik Palestin yang diiktiraf di peringkat
antarabangsa.
Ia diduduki Israel secara haram selama beberapa dekad lamanya.
“Malaysia
menggesa komuniti antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan PBB untuk
bertindak tegas terhadap sikap negara itu yang jelas tidak menghormati
peraturan dan undang-undang antarabangsa,” tegas kenyataan itu.
Perdana
Menteri Israel, Netanyahu mengumumkan rancangannya untuk meluaskan
pendudukan haram Israel di Tebing Barat sekiranya beliau dipilih semula
pada pilihan raya minggu depan.
0 Comments