Dua Melayu hina Islam antara ditahan polis


PIHAK berkuasa polis menahan empat individu kerana terbabit dalam mengeluarkan kenyataan menghina agama Islam dan Nabi Muhammad SAW, selain cuba mencetuskan rusuhan antara kaum.

Kesemua mereka termasuk seorang wanita ditahan di empat lokasi berasingan sekitar Lembah Klang dan Seremban selepas identiti mereka dikenal pasti Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman yang dijalankan sejak Julai lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata dalam tangkapan pertama, pihaknya menahan pemilik akaun Facebook yang menggunakan nama Zahrein Zakariah.

Datuk Huzir Mohamed
“Hasil siasatan yang dibuat, lelaki berbangsa Melayu ini didapati mengeluarkan kenyataan menghina agama Islam dan Nabi Muhammad SAW, 9 Julai lalu.

“Turut ditahan adalah seorang wanita Melayu yang didapati menghina Nabi Muhammad SAW melalui akaun yang menggunakan nama Ain Zafirah atau Nia Fira. Dia ditahan di Seremban 3 pada jam 4.30 petang semalam bersama peralatan telekomunikasi digunakannya juga dirampas,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Beliau juga berkata, polis kemudian menahan seorang lelaki berbangsa India di Pelabuhan Klang yang menggunakan akaun Facebook Ramar Nara yang mengeluarkan kenyataan menghina kaum Melayu pada 16 Ogos lalu. 

Seorang lagi lelaki berbangsa India turut ditahan berhubung sebuah video yang dimuat naik dalam laman Youtube oleh seorang lelaki dikenali sebagai Arunakiri pada 9 September.

Kesemua tangkapan ini adalah hasil kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM) yang membantu mengesan pemilik akaun laman sosial berkaitan.

Pada Ogos lalu, kerajaan memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang giat menggunakan isu bangsa, agama dan raja (3R) yang boleh mencetuskan sentimen kebencian melampau antara kaum.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pihak terbabit menggunakan isu 3R untuk mewujudkan sentimen perkauman kerana sebab tertentu termasuk muslihat politik atau tidak puas hati dengan perkara tertentu dalam negara.

Pihak polis melalui data dikumpulnya menyatakan terdapat peningkatan dua kali ganda pada tahun ini terhadap kecenderungan pihak tertentu mahu memainkan isu berkaitan 3R bagi mencetuskan sentimen perkauman berbanding tahun lalu.

Post a Comment

0 Comments