Bekas Presiden Sudan dibicara kerana 'derma' Putera Saudi

 
OMAR al-Bashir, bekas Presiden Sudan yang digulingkan dibicara atas dakwaan melakukan pemerolehan secara haram dan menggunakan dana asing semalam.

Hakim al-Sadiq Abdelrahman membacakan pertuduhan itu ketika sesi perbicaraan dengan merujuk kepada beberapa mata wang asing ditemukan di kediamannya termasuk AS$351,770 (RM1.4 juta) dan 6.9 juta Euro (RM31.9 juta) yang didakwa diperoleh dan digunakan secara haram.

Al-Bashir ketika perbicaraan | Sumber- New York Times
Ketika perbicaraan, Bashir,75, yang bercakap disebalik sangkar besi mendakwa wang yang dirampas pihak berkuasa di kediamannya itu adalah baki dana AS$25 juta (RM105 juta) yang diterima daripada Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman (MBS).

"Pengurus pejabat saya menerima panggilan daripada pejabat MBS memaklumkan beliau ada 'mesej' yang akan dihantar menerusi jet peribadi.

"Kami dimaklumkan MBS enggan namanya dikaitkan dengan transaksi tersebut jika dana itu didepositkan kepada bank Sudan atau Kementerian Kewangan, namun sumbernya perlu dikenal pasti," jelasnya seperti dilapor media antarabangsa.

Bagaimanapun, Bashir gagal memberikan butiran secara spesifik tentang tarikh beliau menerima dana tersebut yang didakwa diterima sebagai sebahagian daripada hubungan strategik dengan Riyadh.

Di bawah undang-undang Sudan, individu yang membuat kekayaan secara haram boleh berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun manakala kesalahan menggunakan dana asing secara tidak sah pula boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun.

Post a Comment

0 Comments