Sekolah daif: Guan Eng bidas Ketua Menteri S'wak


KEMENTERIAN Kewangan membidas kenyataan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkenaan isu baik pulih sekolah daif di negeri itu.

Menterinya, Lim Guan Eng berkata, kenyataan Abang Johari yang menggambarkan beliau mencari mencari seribu satu helah bagi terus menangguhkan kerja-kerja baik pulih itu tidak benar.

Tambahnya, Kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) sebenarnya perihatin terhadap isu sekolah daif dan telah bertindak awal dengan mengeluarkan surat arahan melaksana kerja awalan mengenainya.

"Kenyataan beliau amat mengecewakan kerana ia menidakkan usaha yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan dan menyegerakan projek membaik pulih sekolah daif.

"Walaupun bayaran balik hutang daripada Kerajaan Negeri Sarawak berjumlah hampir RM350 juta hanya diterima pada 8 Ogos lalu, Kementerian Kewangan telah mengeluarkan surat pada 5 Ogos untuk membenarkan Kementerian Pendidikan melaksanakan kerja awalan  pelaksanaan projek membaik pulih sekolah daif di Sarawak," katanya di sini hari ini.

Difahamkan,kedua-dua pihak sebelum ini bersetuju projek membaik pulih sekolah daif di Sarawak hanya akan disegerakan melali kaedah kontra sebaik Sarawak membayar semula hutang negeri seperti dipersetujui oleh kedua belah pihak.

Sementara itu tambah Guan Eng,  bagi memastikan pelaksanaan fasa pertama projek membaik pulih sekolah daif di Sarawak dapat disegerakan, pihaknya sekali lagi mengeluarkan surat kepada Kementerian Pendidikan pada 14 Ogos lalu.

Surat itu bagi memaklumkan bayaran oleh Kerajaan Negeri Sarawak telah diterima dan meminta kementerian itu mengambil tindakan sewajarnya.

“Kerajaan Persekutuan juga membuat pengecualian dalam meluluskan permohonan Sarawak supaya pelaksanaan projek membaik pulih sekolah daif dipantau Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan diberi keutamaan kepada kontraktor tempatan yang beroperasi di Sarawak," jelasnya.

Pada Julai, Kerajaan persekutuan bersetuju untuk menerima sebahagian bayaran balik pinjaman hutang bernilai RM1 bilion daripada kerajaan negeri Sarawak bagi membaik pulih sekolah daif di negeri ini.

Guan Eng berkata, pembayaran itu adalah wang pendahuluan Kerajaan Persekutuan kerana melibatkan penggunaan dana yang dipinjamkan kepada Kerajaan Negeri Sarawak sebelum ini.

"Jika disifatkan sebagai bayaran balik pinjaman kepada Kerajaan Persekutuan, ianya bermaksud dana RM1 bilion atau RM 350 juta tersebut sebenarnya merupakan wang milik Kerajaan Persekutuan sendiri, yang digunakan untuk membaik pulih sekolah daif di Sarawak," tambahnya.

Post a Comment

0 Comments