Ketua Menteri mahu jadikan Pulau Pinang hab modal insan



KERAJAAN Negeri Pulau Pinang menubuhkan Penang Future Foundation (PFF) bagi melahirkan lebih ramai pemimpin berkualiti dari negeri itu.

Bercakap pada Majlis Makan Tengah Hari Meraikan Penerima PFF baru-baru ini, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata penubuhan yayasan itu bukan sahaja memberi peluang untuk pelajar menerima biasiswa, namun sebagai salah satu usaha Pulau Pinang menjadikan negeri itu sebagai hab modal insan.

"Kerajaan Negeri perlu mengiktiraf, memupuk dan membantu dalam mengeluarkan potensi sebenar para pelajar cemerlang.

“Untuk itu, Kerajaan Negeri berharap pemain-pemain industri sudi tampil dan bermurah hati menyumbang dalam usaha menjadikan PFF sebagai satu program biasiswa mampan untuk pelajar yang berkelayakan.

“Bagi menjayakannya, program amal turut dirancang bagi meraih sumbangan daripada individu atau organisasi serta syarikat supaya lebih ramai pelajar memperoleh manfaat daripada program berkaitan," katanya dipetik laporan Buletin Mutiara.

Difahamkan, program biasiswa PFF dimulakan sejak tahun 2015 . kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM23 juta kepada 408 penerima daripada peruntukan RM40 juta secara keseluruhan.

Ketua Menteri dan penerima biasiswa | Sumber-Buletin Mutiara
Bagi tahun 2019, seramai 25 pelajar menerima Biasiswa Mutiara, manakala Biasiswa Penang (87).

Biasiswa Penang ditawarkan kepada pelajar yang memperolehi purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.67 dan ke atas selain pendapatan isi rumah tidak melebihi RM15,000 sebulan. Mereka akan menerima yuran pembelajaran sehingga RM100,000 dan elaun RM1,000 setiap bulan.

Sementara bagi Biasiswa Mutiara pula, ia dibuka kepada pelajar yang mempunyai CGPA di antara 3.00 hingga 3.66 dengan pendapatan isi rumah mestilah tidak melebihi RM5,000 setiap bulan. Mereka bakal menerima yuran pembelajaran sehingga RM60,000 dan elaun RM600 setiap bulan.

Bantuan ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia yang akan menyambung pelajaran di universiti tempatan sahaja. Namun, syaratnya adalah mereka perlu berkhidmat di Pulau Pinang selama lima tahun selepas tamat pembelajaran.

Tidak diwajibkan untuk bekerja dengan kerajaan negeri atau agensi kerajaan sahaja, mereka boleh bekerja di mana-mana agensi atau industri di negeri itu.

Maklumat mengenainya boleh dilayari di www.penangfuturefoundation.my
 

Post a Comment

0 Comments