Jangan bunuh Malaysia, kata Chong Wei


JIKA rakyat Malaysia ada pilihan untuk hidup dalam suasana harmoni, kenapa perlu kita bersengketa?

Kebelakangan ini isu perkauman kerap dimainkan pihak tertentu. Di media sosial banyak perkongsian yang tidak sihat telah disebarkan, ini mencetus kebimbangan bahawa keamanan yang dikecapi sejak sekian lama musnah.

Chong Wei zahirkan rasa kecewa
Kebimbangan ini turut disuarakan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menyeru rakyat Malaysia berbilang kaum mempertahankan nikmat keamanan dan perpaduan yang telah dikecapi.

"Jangan biarkan isu-isu kecil seperti Dong Zong, tulisan khat (Jawi) memecahbelahkan kita. Jangan biarkan sebahagian kecil yang menyebarkan kebencian kaum menewaskan kita.

"Rakyat Malaysia jauh lebih besar daripada ini. Tunjukkan kita jauh lagi teguh dari semua perkara yang tidak masuk akal ini. Sebarkan cinta bukan kebencian," tulis bekas pemain badminton nombor satu dunia itu di Facebooknya, hari ini.

Menyorot kenangan setiap kali pertandingan, Ching Wei berkata bahawa dia menyaksikan bagaimana rakyat Malaysia tanpa mengenal bangsa mempamerkan semangat sebenar Malaysia.

Jelasnya,rakyat Malaysia sama ada Melayu, Cina mahupun India memberi semangat kepadanya ketika dalam gelanggang.

"Saya letih dan sedih. Saya melihat kepada orang ramai. Sokongan padu mereka tidak pernah goyah. Kemudian saya melihat seorang gadis Melayu, mungkin sekitar umur 8 tahun meletakkan kedua tangan bersama dengan matanya tertutup. Dia berdoa untuk saya.

"Bahagian lain stadium saya melihat seorang lelaki India yang menangis. Saya tidak tahu jika dia menangis untuk saya, tetapi saya menganggap demikian.

"Kemudian, di sudut lain, anak lelaki kawan saya, kanak-kanak Cina berusia 10 tahun menjeritkan nama saya dengan begitu kuat sehingga dia diminta untuk perlahankan suaranya," katanya.

Mengulas lanjut, lagenda sukan negara itu secara terbuka menzahirkan rasa malu atas tindakan pihak yang cuba melaga-lagakan rakyat negara ini.

Permusuhan  yang berlaku di media sosial kebelakangan ini bukan perjuangan Malaysia sebenar.

"Ia Malaysia yang indah, pelbagai kaum. Jangan bunuh," katanya.

Post a Comment

0 Comments