KERAJAAN Pakatan Harapan (HARAPAN) sentiasa berusaha memastikan pembangunan di Malaysia dapat dijalankan dengan baik.
Sehubungan itu, pihak kerajaan tidak memilih bulu dalam mengagihkan peruntukan secara sama rata termasuk di negeri yang dipimpin parti pembangkang.
Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Romli Ishak berkata, bantuan pembangunan yang disalurkan ke negeri-negeri pembangkang adalah sama seperti dinikmati negeri-negeri ditadbir HARAPAN.
“Kita tak mengamalkan apa yang diamalkan Barisan Nasional (BN). Dulu, kalau di negeri pembangkang mereka tubuh Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP), semua bantuan disalur pada jabatan tersebut, kerajaan negeri tak dapat apa-apa.
“Tetapi kita sekarang di bawah HARAPAN, kita menyalurkan bantuan secara terus ke negeri pembangkang. Tiada istilah pilih kasih. Kita akan berikan bantuan seimbang,” katanya pada sidang media di Terengganu pada Ahad.
Romli sebelumnya memberi contoh tindakan kerajaan persekutuan menyalurkan bantuan kepada beberapa negeri termasuk yang ditadbir pembangkang kerana terlibat bencana ribut baru-baru ini.
Sementara itu tambahnya, pemimpin parti di negeri pimpinan pembangkang perlu menjadi mata dan telinga untuk kerajaan Persekutuan bagi memudahkan penyaluran maklumat supaya rakyat dapat dibantu.
0 Comments