Bot karam: APMM selamatkan 75 pendatang


MARITIM Malaysia menyelamatkan 75 pendatang dari Indonesia yang terdampar di laut pada Selasa. Keadaan bot hampir karam

Pengarah Maritim Selangor, Kapten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, kesemua diselamatkan pada kedudukan 2.8 batu nautika dari Sungai Kurau setelah bot kayu dinaiki mereka mengalami kebocoran bahagian enjin.

Keadaan bot hampir karam | Sumber – APMM
“Maritim mengesan bot kayu itu dalam keadaan mencurigakan sekitar pukul 7 pagi.

 “Bot itu ditahan dan hasil pemeriksaan mendapati, ada 75 pendatang asing termasuk tiga kanak-kanak sedang berhimpit-himpit di dalamnya,” katanya pada satu sidang media. 

 Kesemua penumpang bot katanya mahu pulang ke negara jiran sempena raya haji, mereka dipercayai berlepas dari Sungai Air Hitam dekat Pulau Carey kira-kira pukul 5 pagi menuju Tanjung Balai, Indonesia. 

 “Bot kayu itu disyaki telah bocor di bahagian enjin pada awalnya namun disebabkan muatan yang berlebihan, ia telah menyebabkan tahap kebocoran semakin teruk. Selepas kesemua pendatang asing itu dipindahkan ke bot maritim, Ia terus karam,” Tambah Mohammad Rosli. 


Difahamkan bot kayu sebesar bot nelayan tempatan Kelas A itu sepatutnya hanya boleh memuatkan maksimum lima individu dengan beberapa barangan sahaja. 

 Seorang tekong dan dua awak-awak bot berkenaan yang juga warga Indonesia dilapor telah ditahan. Kesemua mereka disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

Post a Comment

0 Comments