Ada pihak cuba lagakan pemimpin HARAPAN – KEADILAN Perak



ADA segelintir pihak didakwa mempunyai agenda tersendiri untuk melaga-lagakan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahm dengan pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) dakwa Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Memetik laporan Sinar, Farhash berkata sifat kepura-puraan segelintir pemimpin di dalam parti itu menghasilkan polemik politik sehingga menyebabkan ahli komponen HARAPAN tidak selesa.

“Ada segelintir pihak yang mempunyai muslihat tersendiri untuk melagakan pemimpin HARAPAN dengan Presiden.

“Justeru tiada masalah sekiranya ahli parti ingin melafazkan ikrar taat setia dan menyokong penuh presiden demi merapatkan saf,” katanya dalam kenyataan kepada media seperti dilapor.


Terdahulu, beberapa pemimpin dalam parti itu mengkritik tindakan pemimpin tertentu menandatangani surat sokongan terhadap Anwar. Dua pemimpin peringkat cabang di Perak dilapor enggan menandatangani referendum sokongan tersebut.

“Selaku Pengerusi KEADILAN negeri saya terima keengganan Abdul Yunus dan Chua Yee Ling walaupun saya tidak berapa gemar, namun inilah demokrasi. Usaha yang dilakukan melalui surat sokongan kepada Presiden adalah tepat dan jelas.

“Persoalannya sekiranya ada sebarang ketidakpastian di dalam situasi politik parti mahupun negara, bolehkah kita harapkan parti berdiri teguh sebagai satu entiti di bawah Presiden?” soalnya.

Ketua Cabang KEADILAN Parit Buntar, Abdul Yunus Jamhari enggan menyatakan sokongan kepada Anwar, tegasnya tindakan sedemikian hanya akan membentuk persepsi negatif rakyat dan ahli akar umbi terhadap KEADILAN.

Post a Comment

0 Comments