ANGKATAN MUDA KEADILAN (AMK) Sabah menolak gesaan disuarakan Pemuda Umno Sabah supaya semua tuduhan yang difailkan semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebelum ini digugurkan.
Pengarah Komunikasinya Fekirie Gobet mengingatkan rakan politiknya itu bahawa tabiat lama yang menyaksikan berlaku campur tangan dalam kes mahkamah perlu dihentikan. Justeru jelasnya tidak wajar menggesa kerajaan menyalagunakan kuasanya.
“Pemuda Umno harus meninggalkan amalan lama campur tangan dalam kes mahkamah untuk membebaskan rakan politik mereka,” katanya dipetik laporan FMT.
Terdahulu, Ketua Pemuda Umno Sabah Sufian Abdul Karim menggesa pihak pendakwaan menarik balik segala kes yang didakwa di mahkamah ketika era pentadbiran kedua Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.
Ia susulan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa pendakwaan terhadap beberapa kes susulan PRU 2018 adalah cacat memandangkan ia dibuat terburu-buru yang digambarkan ‘penuh racun dan permusuhan’.
Sufian dipetik laporan media berkata, walaupun yakin kerajaan perpaduan pimpinan Anwar tidak berkompromi dalam perkara berkaitan rasuah mahupun menyalahgunakan kuasanya untuk menggugurkan kes, namun langkah tersebut dilihat dapat memperbaiki imej keadilan Malaysia di peringkat antarabangsa.
"Siri pendakwaan ketika itu telah membazirkan sumber kerajaan, termasuk masa, kewangan, dan tenaga kerja, hanya demi memenuhi misi politik yang berniat jahat.
"Mangsa pendakwaan ini dianiaya secara sistematik dan terpaksa menghadapi proses mahkamah yang panjang, menanggung kos guaman yang besar, serta menanggung malu dan tekanan masyarakat," katanya.
0 Comments