KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan memastikan lebih banyak premis Tamu Desa terutama di Sabah dan Sarawak dapat dibina.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata pihaknya menerima banyak agar kemudahan yang memanfaatkan komuniti terutama peniaga kecil itu dibina dan ditambah baik.
“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah mengambil kira permintaan kita dan seterusnya membentangkan sejumlah peruntukan yang boleh digunakan untuk meneruskan pelaksanaan premis Tamu Desa pada tahun depan.
“Diharapkan pada tahun hadapan kita dapat meneruskan pelaksanaan premis Tamu Desa seperti yang dibentangkan dalam Belanjawan 2025,” katanya menerusi kenyataan.
Pada pembentangan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat baru-baru ini, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan RM100 juta bagi membina gerai dan membaik pulih prasarana pasar awam di bawah pihak berkuasa tempatan seluruh negara.
Peruntukan itu termasuk untuk menyediakan ruang niaga kepada penjaja kecil Tamu Desa Sabah dan Sarawak, serta menaik taraf kemudahan perniagaan di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Sementara itu Ewon turut memaklumkan, pembinaan baharu dan penaiktarafan sebanyak 36 projek Tamu Desa di seluruh Sabah bagi fasa pertama siap mendahului jadual yang sudah ditetapkan.
“Bagi fasa kedua pula, kita sudah menyerahkan Surat Kuasa Pelaksanaan kepada para pegawai daerah dan penolong pegawai daerah yang terlibat untuk pembinaan 18 projek Tamu Desa, di seluruh Sabah," tambahnya.
0 Comments