KANAK-KANAK diselamatkan dari GISB Holdings (GISBH) dan sedang mengikuti program pemulihan dibawah pasukan khas kerajaan Selangor akan dinilai dari masa ke semasa .
Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor Anfaal Saari berkata, kira-kira 424 kanak-kanak itu dinilai dari segi perkembangan mereka.
"Sekiranya masih dalam dikategorikan kronik dan trauma yang tinggi, mereka akan diletakkan dalam kategori program pemulihan lain berbanding anak lain yang 'moderate' atau 'mild'," katanya pada program HiTea Satu Tahun Anfaal Saari di Shah Alam pada Selasa.
Kerajaan Selangor menubuhkan satu pasukan khas bagi meneliti program pemulihan khusus untuk kanak-kanak yang diselamatkan daripada rumah amal GISBH sebelum ini.
Program pemulihan berkenaan dibahagikan kepada empat kluster iaitu pendidikan, kebajikan, kesihatan berkaitan mental dan perundangan.
Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor Dr Mohammad Fahmi Ngah dan Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor Anfaal Saari dalam kenyataan bersama memaklumkan penubuhan itu berdasarkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor pada 2 Oktober lalu.
Sementara itu menurut Anfaal, setakat ini program pemulihan berjalan dengan baik dan semua agensi kerajaan saling bekerjasama dalam memberikan bantuan berdasarkan skop kerja masing-masing.
0 Comments