PM Anwar di kedudukan 15 dalam 500 Muslim paling berpengaruh

PERDANA MENTERI Datuk Seri Anwar Ibrahim menduduki tempat ke-15 sebagai individu Islam paling berpengaruh di dunia, berdasarkan edisi terbaharu The Muslim 500: The World’s 500 Most Influential Muslim 2025.

The Muslim 500 edisi 2025, diterbitkan sebuah pusat kajian bebas, Pusat Kajian Strategik Diraja Islam (RISSC)  juga berkata Anwar berada di tangga kesembilan bagi kategori pemimpin dan ahli politik Islam berpengaruh dunia, mengatasi Prabowo (ke-10) dan Presiden Mesir Abdel Fattah Saeed Al-Sisi (ke-11).

RISSC yang bernaung bersama Institut Pemikiran Islam Diraja Aal al-Bayt berpangkalan di Jordan itu juga menyenaraikan Raja Jordan, Raja Abdullah II Al-Hussein di tempat pertama diikuti Ulama dan Pengarah Dar Al Mustafay, Tarim Yaman Sheikh Al-Habib Umar Hafiz; Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani; Pemimpin Tinggi Iran, Ayatollah Sayyid Ali Khamenei dan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud.

Dalam pengenalan ringkas mengenai Anwar, penerbitan itu menyatakan beliau sebagai seorang yang pernah mengharungi pemenjaraan, buangan dan cabaran politik sebelum kembali menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-10 pada November 2022.

"Di luar kerjaya politiknya, Anwar telah membuat sumbangan kepada akademik, memegang jawatan di institusi seperti Kolej St Anthony, Oxford, Universiti Johns Hopkins dan Universiti Georgetown.

"Beliau juga merupakan pengasas bersama Institut Pemikiran Islam Antarabangsa (IIIT) yang ditubuhkan di Amerika Syarikat pada 1981," katanya.

Selain itu Anwar digambarkan seorang pemimpin yang lantang mengenai perjuangan rakyat Palestin dalam menghadapi kekejaman Israel.

“Ibrahim (Anwar) telah menjadi penyokong lantang hak Palestin untuk menentang pendudukan. Pertemuan beliau dengan pegawai Hamas (termasuk pemimpin Hamas yang dibunuh Allahyarham Ismail Haniyeh) telah mendapat kritikan dari Amerika Syarikat.

“Siaran media sosialnya yang menyampaikan ucapan takziah selepas pembunuhan Ismail Haniyeh telah diturunkan, yang mendorong beliau untuk berkata: “Biar ini menjadi mesej yang jelas dan tidak berbelah bahagi kepada Meta: hentikan sikap pengecut ini dan berhenti bertindak sebagai instrumen rejim Zionis Israel yang menindas,” menurut penerbitan itu.

 Sementara itu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming menerusi hantaran di aplikasi X semalam mengucapkan tahniah kepada Anwar.

“Kejayaan ini menunjukkan satu teladan ketokohan dan kepimpinan yang inklusif untuk masyarakat berbilang kaum,” menurut Nga dalam hantaran berkenaan.

Sebagai rekod, Anwar pada tahun lalu diletakkan sebagai individu Islam ke-17 paling berpengaruh di dunia bagi kategori sama.

Post a Comment

0 Comments