Akta khusus perlu digubal untuk tangani unsur keganasan - PM Anwar


SATU undang-undang khusus perlu diwujudkan bagi menjamin keselamatan negara daripada  doktrin dan ketaasuban yang melampau yang boleh mendorong keganasan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, doktrin pelampau yang masuk ke Malaysia dari negara luar amat membimbangkan dan mampu membawa kepada perpecahan kaum.

"Satu hal yang tidak boleh kita terima adalah mengizinkan negara menjadi medan dan gelanggang bagi puak yang melampau.

"Kerajaan tidak mempunyai agenda politik kepartian dalam menangani sentimen serta fahaman pelampau keganasan yang semakin berleluasa di negara ini, katanya.

Terdahulu beliau berucap dalam majlis pelancaran pelan tindakan Malaysia bagi mencegah dan menangani fahaman pelampau keganasan  (MyPCVE) di  Putrajaya pada Isnin.

Tanpa menjelaskan lebih lanjut mengenai akta tersebut Anwar berkata, ia bukan bertujuan menyekat hak dan kebebasan rakyat.

Justeru tegasnya beliau menyerahkan kepada kebijaksanaan polis, tentera dan pihak penguat kuasa lain jika ada elemen yang perlu dimasukkan dalam akta berkenaan.

Turut hadir pada majlis pelancaranMyPCVE ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan timbalannya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

MyPCVE melengkapi usaha tuntas kerajaan membanteras aktiviti serta ideologi pelampau keganasan secara holistik, merangkumi fahaman pelampau politik dan perkauman, sosial, agama dan elemen luar.

Pelan tindakan tersebut dibangunkan untuk menyelaras tindakan menangani ancaman fahaman pelampau keganasan bersandarkan kepada empat teras iaitu pencegahan, penguatkuasaan, pemulihan dan pengukuhan.
 
Sebagai rekod, Menteri Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada 2 September lalu mendedahkan, ancaman dan fahaman radikal masih wujud dalam negara.

Bagaimanapun, elemen fahaman dan ancaman membabitkan beberapa kumpulan itu jelasnya masih dalam kawalan pihak berkuasa.
 

Post a Comment

0 Comments