PAS hilang arah, tandus idea di bawah kepimpinan Abdul Hadi, dakwa Saifuddin

 

PERJUANGAN parti Pas sudah menyimpang jauh daripada apa yang diasaskan tokoh parti terdahulu, dakwa Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri melalui satu kenyataan pada Selasa berkata, di bawah kepimpinan Tan Sri Abdul Hadi Awang, Pas kini mengalami kemerosotan.

Muktamar Tahunan Ke-70 Pas baru-baru ini tegasnya adalah kemuncak politik kebencian yang membiakkan budaya fitnah, mencerca dan memaki hamun dalam parti itu.

"Di bawah kepemimpinan Abdul Hadi, Pas mengalami kemerosotan dan Ahli Parlimen Marang itu sinonim dengan politik kebencian serta menyemarakkan fenomena takfir di negara ini.

"Lidahnya tidak letih mencaci-cerca saingannya dan sangat liberal menggunakan label kafir, nifaq, ejen Barat, Freemason dan lain-lain lagi terhadap mereka yang tidak disukainya.

"Sementara Rasulullah mewujudkan Piagam Madinah untuk menyatukan semua penduduk Madinah dan mengisytiharkan yang Islam dan bukan Islam sebagai satu ummah, Abdul Hadi sentiasa bertindak melaga-lagakan antara rakyat pelbagai kaum dan agama.

"Sementara Rasulullah menyampaikan risalahnya dengan mau'idzah dan hikmah, Abdul Hadi didorongi kebencian dan kemarahan membudayakan caci cerca, herdik mengherdik dan memaki hamun di dalam Pas," kata Saifuddin.

Melalui kenyataan sama, Saifuddin terus membidas pemimpin Pas yang sering mendakwa diri sebagai ulama dan melabel Kerajaan Perpaduan MADANI  sebagai kerajaan jibayah hanya kerana perbezaan politik.

"Adakah pengikut dan pemimpin Pas sedar bahawa nilai, pendirian, risalah dan pendekatan mereka semakin menyerupai golongan Khawarij dan Abdul Hadi bertanggungjawab sepenuhnya menyemai nilai dan amalan ini sejak 40 tahun dahulu?.

"Sebagai pemimpin yang bertanggungjawab, kenyataan perlu berdasarkan fakta dan membawa perpaduan, bukan perpecahan," tegasnya.

Saifuddin sementara itu turut menyifatkan Pas sebagai parti yang tandus idea dan hanya fokus merebut kuasa.

"Ketika umat Islam di Malaysia menghadapi pelbagai masalah antaranya terkait isu penagihan dadah, keganasan domestik, rasuah, kemiskinan dan HIV, Pas dan Abdul Hadi tidak melihat isu tersebut sebagai keutamaan.

"Sebaliknya (mereka) lebih fokus dan berangan-angan ingin merampas kuasa kerajaan, malah sanggup mengabaikan agenda hudud yang dilaung sebagai prinsip Pas," kata Saifuddin dipetik laporan.



Post a Comment

0 Comments