KEMENTERIAN PENDIDIKAN (KPM) bercadang membawa perkara berkaitan
dasar pendidikan negara yang tidak melaksanakan peperiksaan bagi Tahun 6
dan Tingkatan 3 ke mesyuarat Kabinet.
Menterinya Fadhlina Sidek
berkata, pihaknya melihat secara positif dan bersetuju dengan
pandanganTimbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa
dasar tersebut perlu dirombak.
"KPM mungkin akan membawanya ke
peringkat Jemaah Menteri untuk dibincangkan dan diputuskan," katanya
kepada pemberita selepas melakukan kunjungan rasmi ke Sekolah Integriti
Kota Kinabalu pada Ahad.
Ahmad Zahid pada Sabtu mencadangkan
semakan kepada dasar peperiksaan tahun enam dan tingkatan tiga ekoran
wujudnya masalah pelajar tidak mahir membaca, menulis dan mengira (3M).
Menurutnya,
terdapat kira-kira 10,177 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun
lalu dikesan mengalami keciciran ekoran masalah kemahiran itu.
Sementara
itu Fadhlina berkata, dalam isu keciciran, kementerian sudah
menanganinya dan bakal diteruskan dengan beberapa program signifikan
yang akan diumumkan tidak lama lagi.
Selain itu KPM juga berusaha melaksana penambahbaikan dalam sistem pendidikan negara dan ia sedang digerakkan ketika ini.
"Kita
sudah umumkan enam agenda reformasi pendidikan negara termasuk Program
Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET); kejuruteraan dan
matematik (STEM); pendidikan digital; pemerkasaan kurikulum sains,
teknologi, peluasan dan pengukuhan prasekolah; serta pelan pendidikan
dan kurikulum prasekolah serta memartabatkan Bahasa Melayu dan
memperkukuhkan Bahasa Inggeris.
"Kita juga sudah melihat
persiapan dalam aspek Pelan Pembangunan Pendidikan negara yang baharu
berikutan pelan sedia ada akan berakhir pada 2025," jelasnya.
0 Comments