SEBUAH pasukan petugas khas bagi membincangkan aspek kawal selia dan penguatkuasaan platform media sosial akan ditubuhkan pada minggu ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu diputuskan selepas pertemuan bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din minggu lalu.
"Insya-Allah dalam beberapa hari ke depan, kita akan bentuk pasukan petugas khas untuk benar-benar memahami apa masalah dihadapi DPP (Timbalan Pendakwa Raya). Contoh, berkait kertas siasatan isu deepfake (palsu tulen) yang terlalu baharu.
"Mungkin perlu kerjasama untuk kita fahamkan pembuktian dan kumpul data secukupnya untuk bawa ke mahkamah. Aspek pendakwaan ini sangat penting untuk elak daripada masalah yang berlaku hari itu," jelasnya.
Beliau sebelumnya mengadakan lawatan bagi menyampaikan sumbangan peribadi kepada PR Puspa, ibu kepada pempengaruh media sosial, mendiang A, Rajeswary atau dikenali sebagai Esha di kediaman keluarga itu di Bandar Baru Ampang.
Esha ditemukan meninggal dunia di sebuah unit kediaman di sebuah kondominium di Setapak di sini pada 5 Julai lalu, sehari selepas membuat satu laporan polis berhubung buli siber yang dihadapinya.
Sementara itu tambah Fahmi, pasukan yang bakal dibentuk akan melibatkan Kementerian Komunikasi, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC).
Bagi menangani kes buli siber, Fahmi berkata, kementerian khususnya SKMM sedang berusaha untuk memastikan proses pelesenan platform media sosial berjalan lancar dan dapat dilaksanakan menjelang 1 Januari tahun depan.
Dengan pelesenan itu, ia diharap platform media sosial mempunyai kewajipan menjaga dan lebih bertanggungjawab di masa hadapan, seterusnya bertindak jika berlaku insiden buli siber, sebaran ajaran sesat, fahaman ektremis atau jualan barang larangan seperti dadah serta judi dalam talian.
0 Comments