FESTIVAL
Turath Islami Selangor 2024 kali kedua yang dianjurkan Kerajaan Negeri
Selangor bertujuan memperkukuh akidah umat Islam dalam negeri dan
negara.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari pada ucapan
Perasmian dan Daurah Hadis 40 (sesi 1) di Dewan Solat Utama, Masjid
Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada Ahad berkata,
penganjuran program itu menjadi titik penting kepada usaha memupuk
budaya keilmuan sekaligus memperkukuh akidah umat Islam di dalam negeri
dan negara.
"Pimpinan kerajaan negeri berpandangan bahawa untuk
memartabatkan Islam, ia harus diisi dengan ilmu dan aktiviti kerohanian
yang dianjurkan agama, berbanding menggunakan sentimen dan emosi
semata-mata.
"Justeru, penganjuran festival ini adalah untuk
mengisi ilmu berguna, diiringi dengan zikir, selawat dan aktiviti
kebudayaan serta kesenian yang akhirnya akan membentuk sanubari kita
yang bermakna," katanya.
Festival Turath Islami Selangor bermula semalam sehingga 2 Jun di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
Ia
melibatkan 32 ativiti dalam 11 acara antaranya program Daurah Hadis 40,
Pameran Al Wahyu: Tradisi Keilmuan Islam Alam Melayu, syarahan,
Munaqasyah Ilmiah dan program selawat selain penglibatan 23 ulama serta
ilmuwan Islam dari dalam dan luar negara.
Mufti Besar Mesir yang
juga ulama terkenal dunia, Al-Imam Al-Allamah Professor Dr Ali Jum’ah
akan menyampaikan kuliah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah
selama 5 hari, bermula 26 Mei (Ahad) sehingga Khamis (30 Mei).
Beliau
turut dijadualkan hadir bagi Daurah Hadis 40 sebanyak 12 sesi untuk
menghuraikan Hadis 40 karya Al-Imam Yahya bin Sharaf al-Nawawi.
Sementara
pendakwa terkenal, Habib Ali Zainal Abidin Abu Bakar al-Hamid pula akan
turut hadir berkongsi lima sesi ulasan sepanjang daurah berlangsung..