PERDANA MENTERI, Datuk Seri Anwar terus mengecam negara barat terutama Amerika Syarikat (AS) yang terus bersikap hipokrit dalam isu Palestin.
Melalui satu temu bual eksklusif dengan Al Jazeera pada Ahad, Anwar menegaskan bahawa negara itu perlu menghentikan penyaluran bekalan senjata kepada Israel serta menggunakan kuasa vetonya untuk menamatkan kekejaman di Palestin.
"Saya tengok kebanyakkan negara Barat kelihatan hipokrit di sebalik kebenaran. Mereka memperjuangkan hak asasi dan demokrasi, namun mereka membiarkan kekejaman berterusan ke atas mereka yang tidak berdosa.
"Masyarakat antarabangsa telah menyatakan pendirian secara jelas bahawa pihak berkuasa termasuk Amerika Syarikat bahawa perlu melakukan apa sahaja yang boleh untuk menghentikan kekejaman dan perang (di Gaza) ," katanya yang menegaskan, AS mempunyai gabungan kemahiran diplomatik, pengaruh dan mekanisme yang boleh digunakan dalam menangani kekejaman itu.
Mengulas lanjut beliau turut menekankan, bahawa kekejaman Israel ke atas Palestin merupakan satu bentuk penjajahan.
"Ramai yang bercakap mengenai peristiwa Nakbah (perang 1948) dan ancaman, ini sebenarnya penjajahan berterusan.
"Jelas Israel adalah sebuah negara apartheid kerana kita boleh lihat dengan jelas bagaimana tindakan mereka (Israel) terhadap rakyat Palestin dan bagaimana mereka menguasai tanah milik rakyat itu.
"Melihat kepada fakta dan impak di Gaza, mana-mana pihak yang waras tidak boleh menafikan bahawa ia adalah pembersihan etnik atau apartheid besar-besaran. Ia telah sampai ke tahap itu," katanya.
0 Comments