SPR mesyuarat Khamis depan isu PRK Kuala Kubu Baharu

SURUHANJAYA PILIHAN RAYA (SPR) bakal mengadakan satu mesyuarat khas pada Khamis minggu hadapan bagi membincangkan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kuala Kubu Baharu.

Setiausaha suruhanjaya itu, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, mesyuarat khas tersebut akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh susulan pemakluman rasmi mengenai kekosongan luar jangka kerusi tersebut yang sebelum ini disandang oleh Lee Kee Hiong.

"Tarikh-tarikh penting PRK seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan serta persiapan lain bagimelaksanakan pilihan raya tersebut akan dibincang dan diputuskan di dalam mesyuarat berkenaan," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Kerusi DUN Kuala Kubu Baharu kosong setelah Kee Hiong meninggal dunia pada Khamis minggu lalu akibat kanser.

Mendiang berusia 58 tahun dan dikatakan telah bergelut melawan kanser sejak beberapa tahun lalu.

Beliau menjadi wakil rakyat DUN Kuala Kubu Baharu sejak 2013 dan ini adalah penggal ketiganya selepas mengekalkan kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri Selangor 2023.

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilapor media pada minggu lalu berkata, BN menghormati kerusi DUN Kuala Kubu Baharu yang dimiliki oleh rakan parti dalam Kerajaan Perpaduan dan akan menyokong calon yang dipilih oleh Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Keputusan itu jelasnya dibuat untuk menterjemah rasa hormat kepada jalinan kerjasama yang dibina dalam Kerajaan Perpaduan selain sebagai isyarat bagi memperkukuh kedudukan kerajaan.

Post a Comment

0 Comments