RUU355: kerajaan adakan sesi libat urus menyeluruh

KERAJAAN PERPADUAN sedang melaksanakan sesi libat urus menyeluruh dengan pihak berkepentingan berkaitan pindaan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (RUU355) .

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dr Zulkifli Hasan berkata pada masa yang sama beberapa sesi libat urus dengan kerajaan negeri juga dijalankan untuk mendapatkan pandangan terhadap pindaan yang dicadangkan dalam usaha kerajaan memperkasakan institusi Mahkamah Syariah.

“Untuk makluman, kita juga telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri Untuk Menggubal Undang-Undang Islam dan kita doakan moga jawatankuasa ini dapat sediakan satu laporan, cadangan yang tuntas untuk tangani isu yang sekian lama ini.

“Oleh itu, diharap semua pihak bersabar dan beri ruang kepada jawatanankuasa khas ini untuk melaksanakan kajian, seterusnya mengesyorkan cadangan pindaan mereka terhadap semua (isu) yang berbangkit,” katanya di Dewan Negara  pada Selasa.

Dr Zulkifli sebelumnya menjawab pertanyaan seorang Ahli Dewan Negara yang bertanyakan usaha yang telah dan akan dilakukan kerajaan untuk memperkasa bidang kuasa termasuk menyeragamkan Mahkamah Syariah di seluruh negeri berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.

Mengulas lanjut mengenai Jawatankuasa itu beliau berkata,cadangan pindaan yang dikemukakan   akan dibentangkan dalam Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) dan Majlis Raja-Raja untuk diperkenankan  sebelum ia dibawa dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

Mengenai sesi libat urus antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri berhubung RUU355, Zulkifli memaklumkan sesi libat urus itu selesai dilaksanakan pada Disember lalu.

“Pada waktu ini, jawatankuasa khas itu telah bermesyuarat secara mingguan dan telah membuat satu pelaporan awal kepada MKI. Saya ingin menegaskan secara umumnya bukan sahaja RUU355 yang akan dilaksanakan tetapi kerajaan juga merancang untuk meluluskan atau membentangkan RUU Akta Mahkamah Syariah,” tambahnya.

Post a Comment

0 Comments