Ops Ihsan gesa tiada sekatan hantar bantuan ke Gaza

OPS IHSAN berharap gencatan senjata secara berkekalan dapat dilaksanakan selepas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) pada Isnin mengundi untuk melaksanakan gencatan senjata di wilayah terkepung itu.

Pengerusi Sekretariat Induk Ops Ihsan, Jismi Johari melalui satu kenyataan berkata, pihaknya turut berharap keputusan juga membolehkan pintu masuk ke Gaza dibuka supaya bantuan kemanusiaan dibawa masuk tanpa kawalan Israel.

“Pihak kami tetap berpendirian bahawa gencatan senjata kekal patut direalisasikan dan dimuktamadkan selepas tempoh akhir draft resolusi yang diluluskan semalam.

“Kami mengesa masyarakat antarabangsa dan Majlis Keselamatan PBB memastikan resolusi tersebut dikuatkuasakan dan dilaksanakan serta merta dan berkesan.

“Perkara yang paling penting ketika ini adalah pembukaan pintu sempadan secara menyeluruh supaya bantuan kemanusiaan dapat masuk ke Gaza tanpa sekatan dan intimidasi daripada pihak rejim Zionis,” katanya.

Sekretariat itu turut menegaskan, pihaknya tidak akan menamatkan penghantaran bantuan kemanusiaan meskipun pusat agihan bantuan makanan Ops Ihsan di Kem Al Nusierat dibom oleh rejim zionis sehingga mengorbankan lapan nyawa pada 15 Mac lepas.

"Sehingga kini sejumlah 33,000 kotak makanan berjumlah 400 tan di bawah projek Kerau Ihsan telah disalurkan ke dalam Gaza.

"Ops Ihsan melalui Pelan Atur Tindak dibawah Misi Kelangsungan Kehidupan akan terus menggerakkan pelaksanaan Projek Kerau Ihsan yang melibatkan penyediaan dan penyaluran sekurang - kurangnya 20,000 kotak makanan setiap bulan.

"Projek Payung Ihsan yang melibatkan sumbangan khemah untuk kediaman sementara dan Projek Dulang Ihsan yang melibatkan penyediaan dan penyaluran makanan sedia dimakan dan bekalan air bersih.

"Perancangan seterusnya termasuk gerak kerja penghantaran 100 kontena dari Kaherah yang dikelola oleh Majlis Perundingan Islam Malaysia (MAPIM) dan Cinta Gaza Malaysia (CGM)," kata kenyataan itu.

Sebagai rekod, Ops Ihsan adalah platform gerakkerja Malaysia secara bersepadu dan menyeluruh dalam menjawap kepada isu kemanusiaan di Gaza yang melibatkan kerajaan Malaysia dan badan-badan bukan kerajaan.

Post a Comment

0 Comments