Pasukan khas kaji sistem pendidikan prasekolah ditubuhkan

SEBUAH pasukan khas untuk menyelaras semula sistem pendidikan prasekolah dibawah Kementerian Pendidikan bakal diwujudkan.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, agnda utama penubuhan pasukan khas itu untuk memastikan memastikan kurikulum dan juga isu-isu berkaitan prasekolah termasuk dari segi pembelajaran serta silibus diselaras bagi mempercepat reformasi pendidikan.

"Mesyuarat jawatankuasa khas ini sudah berlangsung dan perkembangannya kita akan maklumkan dari semasa ke semasa.

"Dalamjawatankuasa ini, antara lain yang dibincangkan ialah termasuk hal berkaitan peluasan prasekolah, kualiti pendidikan yang menjadi sebahagian daripada agenda reformasi pendidikan," katanya.

Fadhlina berkata begitu kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Sesi Libat Urus Bersama Lembaga Pengelola Sekolah Pulau Pinang (LPS) dan Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) negeri Pulau Pinang di Nibong Tebal pada Sabtu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pertengahan Januari lalu menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) melihat semula sistem prasekolahan dengan memastikan kemudahan tambahan diberi perhatian.

Prasekolah jelasnya perlu bermula dengan asas untuk menambahbaik sistem pendidikan negara.