DAKWAAN pembangkang yang mendakwa kerajaan berdepan isu pilih kasih dalam melaksanakan undang-undang Akta Hasutan 1948 dibidas.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail Nasutiondi Dewan Rakyat pada Rabu berkata, identiti politik sesebuah parti tidak menjadi masalah di negara ini kerana kebanyakan parti sudah lama bertunjangkan konsep tersebut.
Namun tegasnya, yang menjadi masalah apabila berlaku pertembungan politik, penyelewangan akidah dijadikan bahan yang dilemparkan kepada parti lain.
“Bila berlaku pertembungan, perbezaan politik dikatakan perbezaan akidah, yang itu jadi masalah.
“Jadi (perkara) ini, kena ada batasan undang-undang untuk mengawalnya,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2024 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Saifuddin turut memetik beberapa contoh kenyataan pemimpin pembangkang ketika berceramah dan memberi khutbah di Pulau Pinang yang dikatakan berbaur hasutan.
Sebelum itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) bertanyakan kepada beliau apabila mendakwa Akta Hasutan mempunyai kelompongan yang boleh disalah guna oleh pihak berkepentingan dan menyoal adakah kerajaan sedia untuk memansuhkannya.
Saifuddin kemudian membidaskan Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) itu dengan mempersoalkan adakah beliau membuat perkara sama iaitu menggubal atau memansuhkan akta hasutan ketika menjadi menteri undang-undang pada era Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri.
0 Comments